Isnin, 5 Julai 2010

Sungai Batu: Tamadun tertua pernah ditemui di Asia Tenggara?

ALOR SETAR, 20 Mei: Sejarah akan berubah selagi ada kajian dan rumusan dari penemuan baru. Misalnya sesuatu tamadun lama yang dijumpai berdasarkan bukti nyata seperti batu bata runtuhan bangunan dan artifak tertentu yang diguna oleh manusia di zaman silam.

Kedah merupakan negeri tertua dalam meniti tamadunnya berdasarkan penemuan di sekitar Gunung Jerai termasuklah Sungai Emas, Pengkalan Bujang, Lembah Bujang dan penemuan terbaru di Sungai Batu membabitkan kawasan seluas lebih 22 hektar.

“Kerajaan negeri akan memberi kerjasama padu kepada Jabatan Warisan Negera dalam mewarta kawasan itu sebagai warisan negara,” kata Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Azizan Abdul Razak setelah mendengar taklimat daripada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim di Wisma Darul Aman.

Dato’ Seri Azizan menyatakan penghargaan kepada penyelidik daripada Universiti Sains Malaysia bersama Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara, Datin Paduka Prof Emeritius Dr Zurina Abdul Majid yang menjalankan kajian di tapak itu dan turut hadir pada pertemuan itu.

“Ini adalah pertemuan bukan sahaja kunjung hormat tetapi menjurus kepada persefahaman antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat dalam melaksanakan program arkeologi untuk faedah bersama yang telah kita capai,” katanya.

Dalam taklimat ringkas itu YB Dato’ Seri Utama Dr Rais berkata, Jabatan Warisan Negara telah menjalankan kajian di tapak arkeologi Sungai Batu seluas 56 hektar fasa pertama melibatkan 10 tapak seluas 22 hektar iaitu milik individu penduduk kampung.

“Kita berbincang bagaimana hendak memajukan beberapa tapak warisan di Kedah yang baru temui di Sungai Batu di dalam kawasan Lembah Bujang.

“Ekoran penemuan dalam kajian itu berupaya pergi jauh dari jangkauan awal iaitu penemuan kesan sejarah 110 Masihi sebagai pusat warisan bukan sahaja untuk Kedah tetapi bagi seluruh Malaysia,” katanya.

Menurut beliau lagi, berdasarkan kajian yang dihasilkan secara ilmiah akan menjadi aset dan nilai yang tinggi kepada tamadun negeri ini malah merupakan tamadun tertua yang ditemui di rantau Asia Tenggara jika dibandingkan dengan yang ditemui Ayudya, Vietnam, Kemboja dan Thailand.

Ujarnya lagi, dengan nilai yang begitu hebat tentu sekali sejarahnya lebih tua daripada Melaka dan Langkasuka yang disebut-sebut, seterusnya dengan bukti-bukti kukuh lebih awal daripada kerajaan Majapahit, Sailindera dan Serivijaya.

“Oleh yang demikian kita harus wujudkan kerjasama dan Kerajaan Pusat yang menyediakan dan menentukan dasar harus bekerjasa dengan Kerajaan Negeri. Lantaran itu kami datang beri sedikit taklimat kepada YAB Menteri Besar dengan harapan setiap langkah yang dibuat dijalin dengan kerjasama kedua belah pihak, selepas ini tentu sekali saya mengemumakan cadangan yang berkepentingan bersama dan Prof Dr Zurina akan menyusul dengan kru dari Universiti Sains Malaysia,” katanya.

Beliau memberitau projek ini mendapat sokongan orang ramai dan jabatannya sudah menerima sumbangan sebanyak RM 1 juta dan berjanji akan memaklumkan perkembangan ini dari masa ke semasa kepada kerajaan negeri untuk kepentingan bersama.

Jabatan Warisan Negara ada Akta Warisan di bawah Seksyen 30 bagi mewarta tapak dan kawasan yang dikenal pasti mengandungi asset ini yang akan menarik minat dunia dan pelancongan.

“Kalau tanah itu milik individu penilaian dan proses akan dijalankan dan pihak berkuasa akan tentukan nilainya kita akan cari peruntukan (untuk pampasan),” katanya.

Sumber: http://wartakedah.net/index.php?option=com_content&view=article&id=189%3Asungai-batu-tamadun-tertua-pernah-ditemui-di-asia-tenggara&catid=36%3Aberita&Itemid=67&lang=ms

Tiada ulasan:

Catat Ulasan