Isnin, 3 Disember 2012

Perang Sungai Manik 1


Cerita di bawah ini adalah terjemahan dari cerita asal bahasa Banjar bertajuk “Sungai Manik Bamandi Darah”. yang diterjemah ke Bahasa Melayu oleh Utuh Lingkun didalam blog beliau dibawah tajuk Perang Sungai Manik.

Diterbitkan semula disini agar pembaca yang belum membacanya di Utuh Lingkun boleh membacanya disini. Ia merupakan satu kisah benar yang perlu diketahui oleh orang2 Melayu/Islam dan dapat dijadikan iktibar.

Nota: Versi asal bahasa banjar  “Sungai Manik Bamandi Darah” telah tiada namun ada salinan di sini

Badan Ismail Rudo yang sudah tidak berkaki dan bertangan menggelupur di atas titi dan sedang menunggu masa untuk nyawa berpisah dengan badan – kedua belah kaki dan tangan Mail Rudo putus ditetak parang ‘bungkol’ Utoh Putih. Air jernih yang mengalir deras di bawah titi bertukar merah disirami darah. Maka tertawa besarlah ‘sangkala’ mendapat habuan petang – darah dalam jantung adalah makanannya.

Begitulah adat orang berkelahi, salah seorang pasti kecundang.

Selepas Asar, Mail Rudo pergi seorang diri – menghembuskan nafas terakhir tanpa seorang pun yang sudi mendekatinya. Sepucuk pistol .38 tanpa peluru masih berada di sisi jasad yang sudah tidak bernyawa lagi.

Ramai penduduk Bendang DO, parit 6, Sungai Manik terdiri dari keluarga Banjar. Kehidupan mereka begitu daif, terhimpit dan dihimpit oleh gerombolan komunis yang bermarkas di Sungai Tungko, dan diketuai oleh Ah Pau, Ah Boon dan Ah Jang.

Pembunuh Mail Rudo, orang kuat Parti Komunis Malaya (PKM) mesti ditangkap segera.


Utoh Putih, Banjar ‘Alai’ jati beranak dua – anak bungsunya seorang bayi perempuan dan baru pandai berdiri-jatuh. Dia menetap di Pekan Rabu, Parit 6, Sungai Manik. Oleh kerana warna kulitnya yang tersangat cerah maka lekatlah gelaran Utuh Putih.

Arwah datuk (pencerita) dan Utuh Putih adalah rakan karib yang sama hebat ilmu zahir dan batin.

Mail Rudo, Banjar Sungai Tungko, Sungai Manik sudah lama menyertai PKM dalam bahagian risik. Selepas tentera Jepun menyerah kalah, Mail Rudo ditugaskan mencari ahli baru dalam daerah Sungai Manik. Disebabkan tidak ramai keluarga Banjar yang sudi menyertai perjuangan komunis, maka akhirnya Mail Rudo terpaksa menggunakan kekerasan. Mereka yang enggan akan menerima padah.

Saban hari ada saja penduduk kampung yang ditangakap, tak kira muda ataupun tua. Disiksa, disembelih, disumbat dalam guni hidup-hidup dan dibuang ke Sungai Perak, ditembak, disula, dan bermacam lagi hukuman. Begitulah gerangan bila manusia (Mail Rudo) sudah ada kedudukan – mudah lupa diri hingga hilang rasa kemanusiaan.

Pada masa itu bukan sedikit orang Banjar dan orang Melayu yang menyokong perjuangan komunis. Malah ada juga orang Banjar yang hebat ilmunya turut menjadi talibarut. Orang seperti itulah yang menjadi duri dalam daging penduduk setempat. Oleh kerana terlau mengejar pangkat mereka sanggup membunuh, membakar rumah dan memusnahkan harta benda bangsa sendiri. Penduduk kampung yang takut menyertai perjuangan komunis secara aktif dipaksa pula membayar yuran sebagai ahli PKM.

Kehidupan keluarga Banjar di Sungai Manik semakin terhimpit. Ramai yang terpaksa berpindah ke penempatan Banjar di seberang Sungai Kinta – ke Kampung Balun Bidai dan Kampung Gajah.


Waktu Zohor baru saja masuk. Alun air bendang dihembus bayu membuat hati terasa rawan. Sambil memikul guni berisi ubi, Utoh Putih melangkah cermat menuju titi untuk kembali ke rumah di Pekan Rabu. Sebaik sampai di pangkal titi…

“Dari mana gerangan ni ‘Toh, akhirnya bertemu juga kita di sini ye?” entah dari mana munculnya si Mail Rudo, tiba-tiba saja tercegat di tengah titi berpakaian seragam komunis, pistol dan bayonet terselit di pinggang. Di wajahnya terpancar rasa kepuasan kerana dapat bertemu dengan Utoh Putih yang sudah sekian lama dipujuknya supaya menyertai PKM.

“Baru balik dari Cikus mencari ubi, maafkan saya tuan, tumpang lalu” Utoh Putih menyahut penuh hormat.

“Kalau ia pun letaklah dulu guni ubi tu, tak usah bergegas, apa yang nak dikejar, tak ke mana perginya rumah tu” garau bunyi suara Mail Rudo. Antara rela dan terpaksa, Utoh Putih mematuhi perintah ‘tuan besar’ dan meletakkan guni ubi di atas titi. Begitu gah susuk tubuh dua orang anak Banjar yang berdiri di atas titi menghadap satu sama lain, cumanya seorang berkulit cerah manakala seorang lagi kelihatan gelap.

“Mungkin petang ini pertemuan kita yang terakhir, agaknya” si Mail Rudo menyambung bicara.

“Apa hajat, kenapa lain benar kata-kata tuan besar?” si Utoh Putih yang menyambut bicara merasakan ada sesuatu yang tak kena.

“Tak usah pura-pura tak tau, bagaimana dengan janji kau dulu? Sampai hari ini aku masih menunggu kata putus” rungut orang kuat PKM menempelak.

“Taklah Mail, aku tak nak ikut perjuangan yang membinasakan bangsa, sedangkan perjuangan untuk mengisi perut sendiri dan anak bini rasa dah tak tertanggung. Tidak…tidak sekali-kali” si Utoh Putih menjawab tegas.

“Mak oi, keras benar hati kau ni ‘Toh…apa nak buat…kalau itulah pendirian kau, bersiap sedialah” merah padam muka Mail Rudo kerana marah. Spontan tangan kanannya mencapai pistol di pinggang dan mengacukan ke dada si Utoh Putih.

“Jangan, senjata jangan dibuat main Mail ai…kita kan serumpun, tak kanlah kau tak ada belas kasihan. Ditakdirkan aku tak ada, siapa yang nak menyara anak isteriku nanti…ampun tuan besar” si Utoh Putih merayu minta simpati.

“Dam…” bunyi pistol memuntahkan peluru sulung. Berasap baju buruk si Utoh Putih dihinggapi peluru, namun dia masih tak berganjak, masih tegak berdiri. Keluarga Banjar berhampiran yang terkejut melihat kejadian tak berani mendekati, masing-masing masuk ke rumah.

“Dam…dammmm…” sudah tiga das tembakan dilepaskan oleh Mail Rudo namun peluru masih tak mampu menembusi kulit si Utoh Putih.

“Bangsat betul, kebal rupanya kau ye…tahani lagi nah” tengking orang kuat PKM. Tanpa disedari sudah enam das tembakan dilepaskan dan pistolnya sudah kehabisan peluru. Sedang dia terkial-kial…

“Labukkk…” ayunan parang bungkol yang bergelar si Kandal Larap hinggap dipergelangan tangan kanan Mail Rudo yang membuatkan tangan itu putus serta merta.

“Labukkk…” giliran tangan kiri si Mail Rudo untuk jatuh ke tanah. Utoh Putih meneruskan ayunan. Kali ini lutut kanan Mail Rudo pula jadi mangsa parang bungkol Kandal Larap. Setelah putus kaki kanan, maka terdamparlah Mail Rudo di atas titi. Si Utoh Putih semakin geram. Tetakan terakhirnya membuat kaki kiri Mail Rudo bercerai dengan badan.

Guni yang berisi ubi diletakkan semual ke bahu, dan Utoh Putih terus balik ke rumah meninggalkan Mail Rudo mengerang kesakitan.

bersambung....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan